Isnin, 31 Januari 2011

KISAH SILAM SEMASA KECILKU:

Aku dilahirkan lebih 40 tahun yang lalu dalam keluarga sederhana susah. Ibuku berasal dari Tanah Jawa Tengah Indonesia manakala bapaku dari Tanah Jawa Perak Malaysia. Menurut cerita ibuku, aku dibesarkan dalam sebuah rumah yang serba kekurangan ditengah sawah padi. Rumah yang beratapkan rembia, berdinding buluh, berlantai papan dan bertangga kayu. Tiada bekalan letrik dan paip air ketika itu. Walau apa kekurangannya, kami tetap hidup bahagia kerana kami tak pernah kelaparan sepanjang hidup kami. Jika inginkan ikan, arwah bapa sering menangkap di sekitar tali air, sungai dan bendang. Jika nak sayur boleh dapat disekeliling hutan dan sawah padi berhampiran.
Memandangkan kemudahan letrik dan paip air tiada waktu itu, kami gunakan pelita minyak tanah bila waktu malam dan kami gunakan air perigi dan sungai bila mahu mandi dan minum. Apabila mahu tidur malam, kami terpaksa pakai kelambu kerana nyamuk banyak waktu itu. Dalam samar-samar lampu pelita yang ada, kami sudah biasa untuk keadaan seperti itu dan dapat melelapkan mata dengan tenang sepanjang masa. Begitulah pusingan harian kehidupan kami walau susah kami tetap bahagia.

Kata ibuku, apabila usiaku sudah pandai berjalan, aku sering bebas kesana kemari mengikut kemana saja arwah bapa pergi. Dia sering membawa ke kebun, sawah dan sekitar rumah bila ingin mencari ikan dan sayur. Satu hari, menurut ibuku, ketika usiaku dalam lebihkurang setahun setengah, arwah bapaku sedang mengait buah dengan pengait. Dia tidak sedar aku ada dibelakangnya. Apa yang berlaku, buluh pengait tersebut telah terkena mataku lalu terpancutlah darah yang banyak dari mataku itu. Ibuku menjerit jerit ingatkan mataku telah buta. Allah telah melindungiku, rupanya buluh tersebut hanya terkena tidak tepat pada mata tetapi kesannya masih ada pada sebelah mataku itu sehingga sekarang. Semuanya adalah satu kenangan kenakalanku waktu kecilku.

Ibuku juga pernah bercerita, satu ketika aku pernah hilang dalam kebun. Waktu itu, arwah bapaku menebas sekitar kebun. Aku memang nakal waktu kecilku kerana tidak mahu duduk diam. Aku berlegar legar sekitar kebun sehingga tanpa disedari oleh arwah bapaku, aku telah hilang entah kemana. Aku tidak tahu kemana pergi kerana aku tidak ingat apa yang terjadi waktu kecilku. Apabila arwah bapaku puas mencari masih gagal temuiku, akhirnya dia memanggil orang kampung untuk mencariku. Ibuku telah menangis tanpa henti atas kehilanganku. Hari semakin senja, dengan Kuasa Allah, aku telah ditemui berhampiran sebuah sungai tidak jauh dari kebun bapaku. Ibu dan bapaku telah memeluk erat meratapi kegembiraan atas penemuanku. Waktu itu usiaku dalam dua tahun. Mereka berkata mungkin aku dibawa makluk halus ketika itu. Semuanya adalah dari cerita mereka yang mana aku tidak ingat.

Ibuku juga pernah bercerita, aku sudah mula diberi pendidikan agama sejak seusia dua tahun lagi. Setiap malam, arwah bapaku mengajarku mengaji, Apabila dia ke surau atau masjid, aku mengikutnya. Aku memang seorang pendiam dan malu. Aku tidak pernah bergaul dengan kanak kanak sebaya yang terlalu aktif. aku suka buat hal aku saja. Dalam masa yang sama, aku sering kena buli dengan mereka. Aku kerap menangis kerana jiwaku cukup sensitif dengan situasi begitu. Maklumlah, aku jarang bergaul dengan kanak kanak sebaya yang terlalu aktif. Aku hanya berkawan dengan adikku perempuan yang dua tahun lebih muda dariku. Aku memang suka baby. Keriangan terasa bila kehadiran adik tersebut yang juga menyinari dalam keluargaku kerana waktu usiaku dua tahun setengah, dia lahir.

Semasa usiaku tiga tahun, aku mula cuba untuk melukis lukis pada kertas kerana arwah bapaku rajin membelikan kertas lukisan dan buku buku latihan asas untuk mengenal huruf dan nombor. aku pelajari melalui dia dan ibuku. Waktu itu tiada persekolahan untuk tadika. Aku terpaksa belajar melalui arwah bapa dan ibuku. Dalam waktu seusia itu hingga mula alam persekolahan, aku dapat pendidikan asas agama dan mengenal huruf serta nombor dari mereka. Jasa mereka tak akan aku lupakan sehingga akhir hayat nanti. Itulah pengorbanan ibu bapa terhadap anaknya walau dalam serba kekurangan namun semuanya boleh dilakukan asalkan ada usaha bersama. Aku amat rindukan kenangan silam tersebut bila dalam keadaan sepi, sering teringat jika tiada mereka maka tiadalah kita. Sebagai anak, walau apa keadaan, ibu bapa tetap kita hormati, baik buruk kita wajib taati. Bila mereka tiada, sebagai anak wajib mendoakan supaya mereka dapat ditempatkan di syurga nanti. aku ingin menjadi anak yang soleh kerana satu hari nanti aku juga ingin ada anak yang soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan kita nanti. Jika kita boleh buat baik, maka balasannya nanti tetap akan baik. Jika kita lupa diri semuanya, maka Allah akan beri balasan buruk pada kita. InsaAllah, aku tak akan lupa pesan mereka.

Ahad, 30 Januari 2011

Jamal Abdillah-Sepi seorang perindu cover

Jamal Abdillah - Sepi Seorang Perindu (HQ Audio With Lirik)

SALAM PENGENALAN:
Blog ini dicipta khas dari saya sebagai mengenang segala kenangan manis & pahit dulu dan sekarang mengenai pengalaman hidup saya, keluarga dan rakan-rakan yang bersama. Semua cerita yang akan dipaparkan nanti adalah dari pelbagai pengalaman hidup kami dalam mengharungi pahit manis kehidupan manusia sejagat. Jika ada yang rasa terguris, tersinggung dan terhina, saya sebagai pengendali blog ini memohon jutaan kemaafan. semoga ianya dapat dikongsi bersama nanti. Terima kasih.