Jumaat, 4 Februari 2011

KISAH SILAM MENGAKHIRI ZAMAN REMAJA:

Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti hari, hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun. Akhirnya walau aku masih belum bersedia untuk berumahtangga, entah mengapa ibuku mula cuba bertanya kepadaku bila aku nak kahwin. Aku masih membisu dengan soalan tersebut. Dipendekan cerita, abang saudaraku telah menceritakan kepada ibuku mengenai seorang gadis adik kepada jiran sebelah rumahnya agak sesuai untuk dijadikan teman hidupku katanya. Ibuku terus bertanyakanku sekali lagi secara serius. Akhirnya aku memberi jawapan tak tahu lagi kerana hatiku belum terbuka untuk semua itu. Hubungan aku dengan gadis itu juga macam biasa, tidak pernah nak keluar kemanapun. Rupa rupanya ibuku telah berpakat dengan abang saudaraku untuk minta pandanganya supaya dapat risik risik akan gadis tersebut. Abang saudaraku cuba bertanya tanya kepada kakaknya dan abang iparnya yang menjadi jiranya itu. Akhirnya abang saudaraku terus memberi lapuran kepada ibuku akan apa cerita yang seterusnya. Ibuku sekali lagi bertanyaku akan hal tersebut. Dia mengharapkan agar aku dapat kahwin cepat kerana dia teringin nak lihat aku cepat kahwin dan cepat dapat menantu. Aku tetap belum beri keputusan pasti. Akhirnya ibuku terus memujuk dan abang saudaraku beri sokongan, aku terus berfikir lagi. Bila keadaanku rasa dalam kesulitan, aku selalu memohon pada Allah minta petunjuk semasa solat. Akhirnya Allah telah membuka pintu hatiku untuk menerima cadangan ibuku.

Sekali lagi ibuku bertanyakan kepadaku, apakah aku boleh beri jawapan setuju untuk perkara tersebut. Abang saudaraku juga telah cuba beri sokongan kuat untuk perkara tersebut kerana dia sudah bincang dengan kakaknya. Mengenai adiknya, tidak menjadi masaalah kerana mungkin dia akan setuju memandangkan adiknya itu tiada teman lelaki yang istimewa katanya. Fikiranku bertambah buntu kerana tiba tiba permasaalahan ini timbul walau aku tiada teman wanita istimewa saat ini tetapi hatiku masih belum bersedia untuk memikul tanggung jawab ini. Aku cuba fikirkan lagi dan akhirnya kerana tidak mahu menghampakan harapan ibuku, aku cuba beri kata setuju. Akhirnya abang saudaraku cuba berbincang dengan kakaknya akan perkara tersebut. Hasil perbincangan abang saudaraku dan ibuku, mereka bersetuju untuk merisik ke rumah kakaknya bersama keluarganya. Untuk memenuhi hasrat ibuku, aku memberikan perbelanjaan untuk perkara tersebut. Apabila semuanya telah tersedia, wakil keluarga kami telah datang merisik ke rumah kakaknya. Disana pihak keluarga perempuan juga telah menunggu kedatangan keluargaku. Aku tidak ikut sama waktu itu. Semuanya dijalankan oleh pihak keluargaku. Aku serahkan sahaja perkara tersebut kepada keluargaku.

Setelah perbincangan selesai, mereka terima lamaran risik dari keluargaku. Keluargaku akan datang semula untuk hantar rombongan meminang pada bulan depan. Aku terpaksa ikut saja katanya demi tidak menghampakan harapannya. Aku telah memberikan lagi wang perbelanjaan untuk semua persiapan tersebut. Semuanya telah diuruskan oleh keluargaku dan aku hanya memberikan banyak mana belanja yang diperlukan. Akhirnya bila tiba masanya, rombongan peminanganku telah sampai ke rumah keluarganya. Perbincangan keluargaku dan keluarganya telah dipersetujui bersama. Tempoh masa bertunang adalah selama setahun dan jika ada perubahan nanti akan diberitahu kemudian.

Dalam masa tempoh bertunang, aku hanya mengutus surat padanya. Kalau nak jumpapun kami jumpa di rumah kakaknya sahaja. Setelah aku fikirkan buat apa bertunang lama kerana wang belanjapun dah ada, aku memberitahu ibuku supaya pertunangan kami dapat dipercepatkan. Aku bercadang jika dapat majlis pernikahan dahulu dan bila sudah sampai masa baru buat majlis persandingan. Keluargaku cuba buat perbincangan semula dengan keluarganya. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk mengadakan majlis tersebut. Dalam tempoh tiga bulan bertunang, kami bernikah (nikah gantung). Majlis persandingan akan dibuat tiga bulan akan datang. Semua wang perbelanjaan telah aku serahkan kepada pihak perempuan. Cuma kami tunggu majlis persandingan sahaja. Dalam tempoh tersebut, aku terpaksa menemui isteriku kerana kami sudah bernikah. Tanggung jawabku sudah bermula dari awal pernikahan. Kami hanya terpaksa sabar dalam hubungan suami isteri sahaja. Biasanya jika jarang bertemu, semuanya boleh bersabar kan. Dia juga sabar akan perkara tersebut. Apabila sudah sampai tempoh yang ditetapkan, majlis persandingan telah dibuat di rumah pihak keluarga perempuan dan keluargaku. Kami buat hanya sederhana sahaja kerana kami adalah dari keluarga yang kurang berada. Apapun semua hajat keluarga kami telah tertunai.

Selepas semuanya selesai, kami tinggal suami isteri bersama kakaknya di apartment KL kerana kakaknya yang bujang tinggal bersendirian. Kami tinggal sementara sahaja. Memandangkan aku berulang jauh untuk pengajianku di UKM Bangi, akhirnya aku berpindah di salah sebuah apartment di BBBangi. Dekat dengan UKM Bangi cuma aku jauh berulang alik kerja di KEMENTAH KL. Selama hampir empat tahun kami tinggal di BBBangi, akhirnya pengajianku tamat. Waktu itu anakku sudah lahir dua orang lelaki. Setelah hampir enam tahun kemudian, lahirlah seorang lagi cahayamata perempuan. Beberapa bulan selepas itu, aku telah dapat ditukarkan ke Institut Latihan TUDM di Ipoh sebagai pentadbir dan jurulatih. Kami tinggal di rumah keluarga TUDM. Selama hampir tujuh tahun aku bertugas sebagai pentadbir dan jurulatih TUDM di situ. Dalam tempoh tersebut, lahirlah anakku yang keempat seorang perempuan. Dengan ini aku telah dianugerahkan dua orang putera dan dua orang puteri. Sehingga kini semua anakku sudah dewasa. Dua orang sudah bekerja, seorang masih menuntut di IPTA dan seorang masih bersekolah rendah. Walau kehidupanku sederhana, namun segala dugaan hidup berumahtangga dapat ku tempohi selama lebih 25 tahun bersama ranjau dan duri. Aku tidak mahu menceritakan segala kepahitan yang telah ku rasai bersama. Semuanya adalah asam garam dalam rumahtangga bagi setiap insan yang merasainya. Kita sebagai ketua keluarga harus pandai menerajuinya. Pengalaman itu mungkin boleh dikongsi sama dengan orang lain dan jika termampu nanti kalau ada jodoh dengan insan lain, boleh tambah kouta lagi. Mana tau jika ada yang sudi nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan