Awal persekolahan menengah, aku telah dibelikan sebuah basikal oleh arwah bapaku untuk kemudahan berulang alik ke sekolah. Aku mula tahu naik basikal sejak usiaku enam tahun. Dalam pada itu, aku hanya ada basikal kecil yang digunakan untuk pergi ke sekolah agama setelah selesai bersekolah rendah kerana sekolah agama berhampiran dengan rumahku. Untuk ke sekolah rendah, aku telah dihantar oleh arwah bapaku setiap hari. Keluargaku tidak membenarkan aku ke sekolah rendah dengan menaiki basikal kecil yang kumiliki kerana mengikut jalan raya yang sebok dan jauh sedikit dari rumahku. Walau apapun, aku telah dihantar dan dijemput setiap hari persekolahan oleh arwah bapaku.
Di sekolah menengah, di tingkatan satu hingga tiga, aku menduduki kelas sastera selama tiga tahun. Aku memang meminati bidang penulisan walau tidak begitu pandai seperti penulis profesional. Walau apapun, pengalaman suka membaca dan menulis telah mengajarku untuk tujuan tersebut. Aku suka menulis kisah hidupku dan kehidupan semasa semua manusia. Pengalaman dari orang lain aku dapat kongsi sama untuk kubuat sebagai pengalaman hidupku. Aku suka kehidupan susah pada mulanya sebelum mengalami kehidupan yang senang kemudiannya. Pengalaman ini akan mengajarku untuk merasai segala kesusahan dalam kehidupan sebelum merasai kesenangan kemudian hari. Aku tidak gentar walau apa saja yang berlaku dalam pelbagai keadaan.
Semasa di persekolahan menengah, aku telah dilantik sebagai ketua kelas dan pengawas selama tiga tahun. Tanggung jawab semakin berat bila diberi tugasan tersebut. Aku adalah seorang yang pemalu tetapi rasa tegas bila diberi tanggung jawab ini. Ramai murid wanita suka padaku kerana aku mudah bertolak ansur. Guru kelas wanitaku juga amat menyukaiku. Aku tidak tahu bahawa guru wanitaku itu bukan suka tetapi semacam sudah jatuh cinta padaku. Bagiku, aku anggap dia sebagai guruku kerana usianya 10 tahun lebih tua dariku. Apa yang peliknya, dia selalu memberikan pelbagai barangan dan makanan hampir setiap hari sehingga ramai rakanku memerhatikan segala gerak geri kami. Aku hanya anggap biasa kerana aku belum ada perasaan apa terhadapnya. Aku tidak pernah merasakan macamana rasa cinta. Jiwaku hanya ingin belajar dan tak pernah fikir soal cinta waktu itu.
Dalam penglibatanku di sekolah, aku telah mewakili sekolah dalam sukan olahraga. Aku sering kemerata sekolah untuk pertandingan. Guru wanitaku itu juga sering mengikut kemana saja aku pergi kerana dia juga adalah wakil guru yang bertanggung jawab dalam perkara ini. Aku juga disukai oleh rakan yang lain kerana aku banyak mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan tersebut. Semua pingat yang ku perolehi banyak tersimpan di rumah keluargaku di kampung hampir penuh satu almari semuanya. semua itu adalah tanda kenangan semasa di sekolah menengah.
Menyentuh mengenai pelajaranku, aku hanya seorang murid yang sederhana bijak dalam kumpulan 10 terbaik dalam tingkatan. Keputusan SRP ketika itu hanya dapat yang baik sahaja. Itulah yang melayakanku untuk sambung pelajaran di AFATS Port Dickson. Aku memamng meminati dari dulu untuk memasuki AFATS kerana disana akan diajar dalam dua bidang iaitu akademik dan tentera. Apabila telah dapat keputusan SRP, saya cuba memohon sendiri tanpa bantuan keluargaku atau mana mana pihak. Akhirnya aku berjaya dipanggil temuduga untuk pemilihan awal di Ipoh. Aku telah dihantar oleh arwah bapaku ke situ buat pertama kali. Selama dua hari, aku menjalani pelbagai ujian akademik dan ala tentera. Akhirnya, keputusanya aku berjaya melepasi dalam temuduga awal. Selepas seminggu, aku diberi tiket waran percuma untuk pemilihan terakhir di Port Dickson. Aku dihantar oleh arwah bapaku ke stesyen keretapi melalui Tapah ke Seremban. Di Seremban, aku dan kumpulanku telah dibawa ke AFATS Port Dickson dengan menaiki bas tentera. Selama seminggu aku diuji pelbagai ujian lebih hebat dari pemilihan awal, akhirnya aku berjaya melepasi ujian tersebut. Aku diterima masuk dalam pengajian AFATS selama dua tahun di Port Dickson. Keluarga amat gembira mendengar berita tersebut kerana semua yuran pengajian, tempat tinggal, makan minum dan pelbagai kemudahan termasuk pakaian telah diberi secara percuma tambahan elaun pengajian diberi setiap bulan. Kami sememangnya keluarga susah amat gembira dengan perkara tersebut. Tinggalkan keluarga sementara waktu di kampung dan guruku serta rakan karibku kerana ingin teruskan pengajian di sana. Guru wanitaku itu telah mengirimkan wang sebagai hadiah semasaku disana. Hubungan kami mula renggang bila aku terlalu sebok di AFATS. Walau dia rasa sayang terhadapku tetapi aku hanya menganggapnya sebagai guru yang baik hati sahaja yang banyak membantuku. Jasanya tetap kuingat dan kukenang sampai bila bila. Akhirnya, aku terima berita yang dia sudah mempunyai kekasih hati dari kalangan guru juga. Aku telah mendapat jemputan dihari perkahwinannya. Aku tidak dapat hadir kerana tiada cuti di AFATS. Aku hanya mengirimkan hadiah kepadanya sahaja. Sekarang akupun tidak tahu dimana dia kerana mungkin ikut suaminya, aku tidak mahu mengganggunya. Semuanya hanya satu memori yang pernahku ingat di zaman persekolahan menengahku. Semua orangpun ada kenangannya tersendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan