Khamis, 3 Februari 2011

KISAH SILAM SEWAKTU REMAJA

Selepas tamat pengajian dibidang Pengurusan Pentadbiran, aku telah dihantar bertugas di Kementerian Pertahanan KL di bahagian Risik Udara. Tidak lama selepas itu, aku ditugaskan di Konselat Jenderal di Medan Indonesia sebagai Pentadbir di sana selama hampir enam bulan. Kemudian aku ditugaskan kembali di KEMENTAH KL di bahagian Sekretariat dan Anggota. Kesemua tugasku melibatkan pentadbiran anggota tentera dan awam. Dalam masa waktu bertugas, aku juga telah banyak dihantar untuk kursus peningkatan seperti di INTAN, UITM dan Institut Latihan TUDM. Tidak lama selepas itu, aku telah mengambil Pengajian Luar Kampus di UKM Bangi dalam bidang Pengurusan Perniagaan.

Semasa usiaku lebih kurang 22 tahun, aku telah dikenalkan oleh seorang gadis oleh kakak beliau yang secara kebetulan tinggal di rumah sewa abang saudaraku. Ketika itu aku bertandang ke rumah abang saudaraku dalam masa cuti hujung minggu. Gadis itu berusia lebih kurang 17 tahun. Dia kebetulan datang ke rumah kakaknya semasa cuti menunggu SPM. Aku memang seorang pemalu dan tiada teman istimewa ketika itu. Aku memang belum bersedia untuk mencari teman istimewa kerana hati ini masih belum terbuka lagi. Jika dikira dari usiapun masih muda bagi kaum lelaki untuk mencari teman istimewa. Aku telah dijemput oleh kakaknya untuk makan malam di rumahnya. Memandangkan banyak sokongan dari abang saudaraku, aku terpaksa menerima jemputan tersebut untuk makan malam di rumahnya. Aku rasa malu tetapi rezeki jangan ditolak, banyak juadah makanan telah siap tersedia untuk aku nikmati. Kakaknya bercerita, adiknya itu yang memasak kerana memang dia pandai memasak. Dalam malu malu aku nikmati semua juadah yang tersedia. Kemudian aku berbual bual dengan kakak dan abang iparnya termasuk dia. Aku rasa malu tetapi bila lihat dia juga begitu, aku mula senyum dan senyuman mula terbalas dari dia. Dari situ aku mula berani untuk bertanya tanya dia mengenai hal semasa. Aku rasa masih biasa dalam hubungan ini. Aku masih belum rasa apa apa kerana hatiku masih belum terbuka untuk sesiapapun. Aku minta diri balik ke rumah abang saudaraku disebelah rumah sahaja.

Dalam tugas seharianku, banyak rancangan yang telah aku fikirkan seterusnya memberi cadangan kepada pihak atasan apabila hadir setiap mesyuarat. Aku memang seorang yang suka merancang untuk semua perkara dan segala cadanganku telah banyak diterima oleh pihak pengurusan atasan. Antaranya tentang elaun elaun khas untuk semua anggota tentera yang sebelum itu tidak pernah diterima, akhirnya sekarang sudah mendapat kelulusan dari kerajaan, semua genarasi baru sekarang sudahpun menerimanya. Perubahan pakaian seragam tentera yang kurang menarik dahulu, dengan cadanganku itu akhirnya bentuk pakaian seragam tentera yang lebih menarik telah ditukar seperti yang kita lihat sekarang. Perhubungan antara orang awam dengan tentera dan pihak atasan telah banyak perubahan dari segi protokol apabila saya cadangkan agar ianya tidak sepatutnya terlalu mengikut cara pemerintahan dektator yang penah diamalkan satu ketika dahulu. Apabila ianya dipersetujui oleh pihak atasan, maka hubungan ini telah dilonggarkan. Jika tidak, memang dulu orang awam dan anggota bawahan cukup takut dengan cara pengurusan pihak atasan dalam tentera. Banyak lagi cadangan cadangan lain yang pernah aku kemukakan dan diluluskan oleh pihak kerajaan tidak dapat aku nak ceritakan semuanya. Dalam pada itu, aku juga telah banyak menerima sijil penghargaan dari kementerian dan kerajaan. Sepanjang aku berkhidmat, itulah satu satunya yang dapat aku sumbangkan kepada pihak kerajaan dan masyarakat. Walaupun bila sudah tidak berkhidmat lagi nanti, aku masih tetap boleh menyumbangkan apa saja pandangan kepada kerajaan dan masyarakat secara sukarela. Aku memang suka dengan khidmat sukarela jika ada pihak yang memerlukannya kerana itu saja sumbanganku yang boleh dibuat kerana nak sumbangkan harta benda, aku bukannya seorang hartawan. Cukuplah sekadar apa yang ada padaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan