Rabu, 2 Februari 2011

KISAH SILAM ZAMAN AKHIR KANAK-KANAK & AWAL REMAJA:

Semasa usiaku 10 tahun, aku telah tamat mengaji Al-Quran. Sebagaimana adat di kampung kami, apabila anak remaja lelaki sudah tamat mengaji Al-Quran, ibubapa akan mengadakan majlis Khatan & Khatam Al-Quran. Setelah ditetapkan harinya, waktu itu cuti akhir penggal persekolahan, maka keluargaku telah menjemput penduduk satu kampung untuk mengadakan majlis tersebut. Di kampung kami jika ada apa saja majlis, semua penduduk akan bergotong royong memasak dan urusan khenduri beramai-ramai. Aku rasa amat seronok bila melihat suasana tersebut. Ramai jemputan dan penduduk sekampung berkampung menyerikan majlis tersebut. Apa yang paling menggembirakan ialah kerana aku diberi wang oleh mereka yang datang. Banyak juga wang yang aku dapat dari sumbangan mereka. Memang adat di kampung kami begitu.

Pada malam tersebut, satu majlis khenduri doa selamat diadakan sebelum majlis khatam. Aku telah memakai pakaian baju melayu baru yang telah dibuat oleh ibuku. Aku amat gembira. Aku telah ditemani oleh dua orang abang sepupu yang turut sama untuk khatam dan khatan. Bila majlis bermula, aku bergilir gilir membaca surah surah tersebut dengan dua orang sepupu yang turut sama. Apabila majlis selesai, aku telah menerima sokongan semangat dari tetamu yang datang sambil menerima banyak sumbangan lagi dari mereka. Aku amat gembira. Majlis diakhiri dengan jamuan makan nasi ambang sebagai tradisi orang jawa di kampung ini. Bila semuanya selesai, malam tersebut telah diserikan dengan alunan kompang dan rebana sehingga waktu subuh. Aku tidur awal kerana pagi pagi nanti majlis khatan akan diadakan. Aku bertiga bersama sepupu telah diberi tempat tidur yang istimewa semacam pengantin baru. Itulah adat kami bila berlaku sesuatu majlis seumpama ini.

Waktu subuh semakin hampir. Sebelum subuh, kami bertiga telah dikejutkan. Kami bertiga terus ke sungai berhampiran dengan rumah untuk berendam selama sejam dan terus mandi. Selepas mandi, kami solat subuh berjemaah. Selesai solat, kami telah dihidangkan sarapan yang bermacam jenis sebelum majlis khatan bermula. Jam 7 pagi, tok mudim telah datang. Tempat berhatan telah disediakan. Aku orang pertama dikhatan. Perasaan takut bertambah tambah tetapi tok mudim telah menggunakan cara moden seperti peralatan doktor. Aku rasakan tidaklah terasa sakit bila sudah kena ubat bius. Sedar sedar sudah selesai kena khatan. Aku rasa lega dan berehat ditempat yang disediakan. Ramai saudara mara datang melihat sambil memberikan sumbangan tanpa henti. Aku rasa gembira kerana banyak dapat duit yang tak pernah aku terima sebanyak itu. Kami bertiga berehat berhampiran sambil bercerita untuk menghilangkan rasa sakit. Selepas ubat bius hilang, barulah terasa sakit sangat tempat yang dikhatan. Aku terpaksa menahan kesakitan walau sakitnya hanya diketahui oleh mereka yang pernah mengalaminya. Semuanya adalah satu kenangan untuk sekali seumur hidupku.

Dalam tempoh masa untuk baik, aku terpaksa berpantang makan makanan yang tertentu. Tidak boleh makan makanan yang gatal gatal hanya makan nasi dengan ikan bilis dan kicap sampailah betul betul kering dan sembuh. Aku hanya dapat berpantang selama seminggu kerana dalam tempoh terebut semuanya kering dan sembuh betul. Dalam tempoh penjagaan memang cukup berpantang. Mandi kena hati hati, kena rajin cuci dan rajin sapu ubat. Jika tidak lambatlah baik nanti. Walau apapun setelah betul betul baik, kami semua rasa lega dan kami bertiga pergi ke bandar untuk jalan jalan sambil beli belah. maklumlah dapat sumbangan banyak. Sebahagiannya aku simpan dalam bank kerana aku memang suka menyimpan. Aku rasakan bila sudah berkhatan, zaman kanak kanakku sudah mula hilang. Bila kita sudah rasakan cukup umur atau akhir baligh, perasaan kita akan berubah. Hanya yang tinggal kesepian dan kerinduan waktu zaman kanak kanak yang akan berakhir. Zaman awal remaja akan bermula. Begitulah lumrah kehidupan setiap manusia di dunia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan